Amizax's Weblog – Menjana Pemikiran Ilmiah

August 13, 2008

Peringatan Kepada Umat

Filed under: Agama — amizax @ 5:11 am
Tags: ,

Menurut beberapa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitabnya az-Zawajir juzuk 2 halaman 41, dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api obor dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Antaranya:

* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang berjihad �Fisabilillah� yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

* Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibril: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai tuhan).

* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula tanpa henti. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

* Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba.

* Lelaki yang menghimpun sekumpulan kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan semua para Nabi dan Rasul menjadi makmum.

Rasulullah s.a.w. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Selepas menyaksikan pelbagai panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis.

Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad s.a.w. solat tahiyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Hubungan Nabi Muhammad dengan rasul-rasul

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan eskalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha.

Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad s.a.w. diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Di langit pertama, baginda berjumpa Nabi Adam a.s., bapa segala manusia.

Di langit kedua berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya a.s.

Di langit ketigaerjumpa dengan Nabi Yusof a.s.

Di langit keempat berjumpa dengan Nabi Idris a.s.

Di langit kelima berjumpa dengan Nabi Harun a.s. Di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa a.s.

Di langit ketujuh berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah digambarkan kepada baginda beberapa keadaan ketika dimikrajkan (satu kelebihan diberikan kepadanya), beberapa peristiwa ngeri khususnya terjadi kepada golongan wanita yang dikatakan penghuni neraka yang paling ramai berdasarkan satu riwayat hadis.

Perkara itu berlaku kepada baginda yang diperlihatkan keadaan golongan wanita ahli neraka yang digantung dengan rambutnya, otak mendidih, nanah dan darah keluar daripada rongga terbuka dengan baunya yang cukup hanyir.

Ada wanita yang digantung dengan lidahnya, kemudian dituangkan air yang mendidih dari api neraka ke dalam rongganya.

Ada wanita yang diikat kakinya pada buah dadanya sementara kedua tangannya diikat pada ubunnya dan Allah memerintah kala jengking dan ular berbisa menyengatnya.

Ada wanita yang digantung (buah dadanya sahaja) sementara api menjulang di bawahnya.

Ada wanita di mana kepalanya seperti babi dan badannya seperti keldai, sementara ditimpa azab yang terlalu banyak ke atasnya.

Ada wanita badannya seperti anjing, sedangkan api sedang menyala masuk ke dalam mulutnya dan keluar menerusi duburnya, sementara para malaikat sedang memukul kepalanya dengan tongkat yang diperbuat daripada api neraka.

Itulah wanita yang enggan untuk menutup kepala dan dadanya dengan tudung di hadapan lelaki ajnabi, itulah juga wanita semasa hidup di dunia tidak mahu mandi junub dan haid serta lalai untuk bersembahyang.

Itulah juga wanita yang menyakiti tempat tidur suaminya, yang selalu suka mengadu perkara dusta, pembohongan, hasad dan dengki.

Begitulah yang diungkapkan Rasulullah s.a.w. di hadapan puterinya Fatimah dengan kata-kata: Hai anakku Fatimah! Neraka Wail buat wanita yang durhaka kepada suaminya.

Inspirasi perubahan agar umat sedar

Daripada fenomena peristiwa yang berlaku antara Nabi dan Jibril dalam isu Israk dan Mikraj sepanjang perjalanan yang digambarkan kepada Rasulullah s.a.w., adalah untuk jadi bahan renungan dan iktibar bagi generasi Muslim sepanjang zaman, terutamanya umat hari ini yang semakin hilang keyakinan diri kepada Allah selaku Pencipta.

Ia boleh disimpulkan sebagai himpunan peringatan buat individu yang mahu menjadikannya pula sebagai anjakan paradigma untuk terus melakukan perubahan diri meniti kesempurnaan.

Ini kerana peristiwa-peristiwa simbolik berkenaan jika dihalusi dengan teliti, mampu mengubah cara hidup Muslim yang boleh disifatkan sebelumnya sebagai individu yang lalai, jauh daripada pegangan agama.

Betapa suasana dan kesudahan mereka yang digambarkan dalam simbolik itu menggambarkan keadaan manusia nanti di alam akhirat dengan pelbagai gambaran yang amat mengerikan.

Apabila ia juga tidak mampu mengubah sikap, pendirian seseorang, bererti individu berkenaan telah dihijab hatinya daripada wahyu petunjuk Ilahi dan terus bebas melakukan penentangan terhadap Allah SWT.

Justeru, kita adalah disaran agar terus banyak berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, supaya memasukkan kita dalam himpunan hamba-Nya yang lunak hati untuk menerima kebenaran, kerana jika kita terus masih mengingkari kebenaran, maka kehidupan kita di dunia semakin sempit, malah akan dibutakan oleh Allah di akhirat hingga terjerumus masuk dalam neraka-Nya, Wal ‘Iyazu Billah.

(Petikan Harakah Rabu 13 Ogos 2008 | 10 Sha’ban 1429 Hijrah)

Saranan:

1. Peristiwa israk dan mikraj ini perlu di beri penekanan, dari segi sambutannya dan intipati peristiwa tersebut hendaklah diwar-warkan kepada generasi muda khususnya. Semoga menjadi penawar kepada penyakit gejala sosial yang begitu parah ketika ini.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: