Amizax's Weblog – Menjana Pemikiran Ilmiah

May 2, 2009

Selingkar Kisah

Filed under: Budaya Ilmu — amizax @ 3:52 pm
Tags:

“Kewajipan terhadap agama dan kecemerlangan akademik mestilah dilaksanakan seiringan kerana kita tidak mahu sekadar berjaya di dunia sahaja, sedangkan kejayaan di akhiratlah yang kekal abadi.”


Demikian tegas Nik Nur Madihah bt Nik Mohd Kamal, pelajar cemerlang SPM 2008 Lahir di Pengkalan Chepa, Kelantan. Pencapaian Nik Nur Madihah mendapat 20A telah ‘menggemparkan’ negara kerana kejayaan ini diperolehi dalam keadaan hidup beliau yang serba daif seperti yang dipaparkan oleh media massa.

Ikuti sedikit kisah hidupnya buat renungan kita bersama dan boleh diteladani oleh semua remaja:-

Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Ayah saya seorang nelayan dan ibu saya sebelum ini seorang suri rumah sepenuh masa. Cuma bila saya telah tamat peperiksaan SPM dan mula bercuti, ibu saya bekerja sementara sebegai tukang dapur di Universiti Malaysia Kelantan. Saya merupakan anak sulung dari empat orang adik-beradik. Adik bongsu saya bersekolah dalam darjah lima.

Rutin harian saya macam pelajar biasa juga. Pergi dan balik sekolah. Kemudian menunaikan kewajipan sebagai pelajar Islam dan sebagai seorang anak, sama seperti pelajar-pelajar biasa.

Saya tidak mempunyai waktu bangun tidur yang tetap. Jika saya tidur awal, saya akan bangun pada pukul 4 atau 5 pagi. Kadang-kadang saya akan belajar sehingga pukul 2 pagi, tidur dan bangun pada subuh keesokan harinya.

Saya belajar seperti orang lain juga. Saya baca buku seperti orang lain juga. Cuma apa yang lebih mungkin dari segi kesedaran yang saya membawa tanggungjawab yang besar. Saya sedar, saya adalah harapan ibu bapa dan ingin mengubah nasib mereka. Jadi saya kena selalu memotivasikan diri, kuatkan diri dan selalu dekatkan diri dengan Allah SWT kerana hubungan kita dengan Allah itulah yang berikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini.

Pertama sekali, yang paling penting ialah fokus seratus peratus di dalam kelas. Saya tidak mengambil mana-mana kelas tuisyen di luar dan bergantung seratus-peratus dengan pelajaran di sekolah. Jika ada perkara yang saya tidak faham, saya akan cepat-cepat berjumpa dengan cikgu tanpa bertangguh. Saya suka bertanya soalan kepada cikgu dan selalu berjumpa dan mendapatkan nasihat dari cikgu apabila saya mendapat markah yang rendah dan tidak memuaskan. Saya sentiasa mencari masa terluang kerana cikgu tidak akan sempat untuk menumpukan masanya kepada saya seorang di dalam kelas. Jadi saya akan berjumpa dengan cikgu walaupun pada waktu petang.

Terdapat banyak faktor yang mendorong saya untuk mengambil sehingga 20 subjek. Pertama, Islam sendiri menyuruh umatnya menuntut ilmu. Walaupun mengambil 20 subjek ini nampak sukar dan banyak, tetapi saya yakin jika kita niatkan menuntut ilmu kerana Allah Ta’ala, insya Allah semua itu akan jadi mudah dan akan dapat merasa kemanisan dalam menuntut ilmu. Seterusnya adalah faktor keluarga. Pada pemerhatian saya, kebanyakan pelajar terbaik datang dari keluarga yang senang. Jadi saya cuba mengambil langkah untuk membuktikan bahawa kemiskinan itu bukan penghalang kejayaan seseorang. Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk atau membanggakan diri. Faktor yang ketiga ialah guru-guru. Guru-guru selalu memberi saya harapan dan ingin melihat saya mencipta satu kejayaan untuk sekolah.

Islam mengajar kita untuk berjaya. Saya lihat di sekeliling kita, umat kita semakin diperlekehkan dan semakin ditindas. Jadi, sudah tiba masanya untuk umat Islam bangkit kembali dan tiada cara lain, melainkan dengan melengkapkan diri dengan ilmu. Siapa yang mendorong saya? Sudah tentulah ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa yang memberikan kepercayaan penuh kepada saya untuk melihat saya berjaya dan mengubah nasib keluarga. Guru-guru selalu memberikan saya harapan dan selalu menasihatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik untuk kita naikkan nama pelajar Islam.

Rakan-rakan semuanya membantu. Apabila saya menyatakan untuk mengambil 20 subjek, mereka memberikan dorongan. Apabila saya ingin bertanya sesuatu yang saya tidak faham, mereka sentiasa membantu dan menyokong dari belakang. Kami semua dari Maahad Muhammadi (Perempuan) sedar yang kami memikul tanggungjawab yang besar.

Saya hanya mengambil 12 subjek teras (belajar secara formal di sekolah). Lapan subjek lagi saya belajar sendiri. Tiga dari lapan subjek tersebut mendapat bimbingan cikgu dari luar. Cikgu akan mengumpulkan pelajar-pelajar yang mengambil subjek tambahan dan mengadakan kelas pada waktu petang, hari Jumaat atau Sabtu serta pada hari cuti yang panjang.

Kewajipan terhadap agama dan kecemerlangan dalam pelajaran adalah dua perkara yang amat berkaitan. Bagi saya, jika ditinggalkan salah satu, maka kita tidak akan berjaya. Kedua-duanya perlu diambil berat. Ini kerana, sebagai umat Islam, kita tidak mahu sekadar berjaya di atas dunia sahaja kerana kita yakin bahawa kehidupan selepas mati itu wujud dan kita yakin bahawa negeri akhirat itu adalah kehidupan yang kekal abadi. Kerana itulah, kewajipan terhadap agama kita perlu letakkan di tempat yang pertama. Kemudian kita terus berusaha dan buat yang terbaik serta kita niatkan kerana Allah Ta’ala. Kita tidak mahu sekadar berjaya di atas dunia sahaja, kita mahu berjaya di akhirat juga.

Allah SWT telah berfirman, Allah akan memberikan kejayaan kepada sesiapa sahaja yang berusaha, tidak kira sama ada Islam atau sebaliknya.Yang penting ialah keredhaan Allah Ta’ala. Kita tidak mahu sekadar menjadi seorang pelajar yang berjaya, tetapi kita ingin juga mempunyai sahsiah dan peribadi yang mulia sebab kita hidup bukan hanya seorang diri tetapi kita hidup bermasyarakat. Biarlah kita menjadi model untuk orang lain mempelajari ajaran Islam yang sebenar.

Bagi saya, perkara yang paling pokok, paling utama, dan paling mustahak ialah pendidikan agama bagi pelajar Islam dan pendidikan moral bagi pelajar bukan Islam. Ini kerana bagi pelajar Islam khususnya, bila kita belajar tentang agama dan praktikkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian, istilah terjebak dengan gejala sosial ini tidak akan wujud. Ini kerana Islam ialah agama yang indah dan syumul. Inilah cara yang terbaik dan paling utama untuk membanteras gejala sosial. Bagi pelajar bukan Islam, kita didik mereka dengan pendidikan moral dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Sebenarnya terdapat ramai pelajar beraliran agama yang berjaya. Entah bagaimana, kejayaan mereka seperti tersembunyi. Contohnya dari sekolah saya sendiri, terdapat ramai bekas pelajar yang mengambil PhD, keluar sebagai doktor dan sebagainya. Alhamdulillah, mereka berjaya kerana apabila didikan agama sudah kuat, kekuatan rohani telah kukuh, insyaAllah, perkara-perkara lain akan jadi mudah. Cara untuk meramaikan lagi pelajar beraliran agama yang berjaya ialah kita perlu meletakkan mereka dan juga para ulama di tempat yang sepatutnya dan mulia agar masyarakat melihat para ulama sebagai peribadi yang harus disanjung dan dijadikan ikutan.

Sebagaimana yang agama kita telah ajarkan, kita buat sesuatu biarlah kerana Allah Ta’ala dan biarlah kita berbakti di jalan-Nya, walau siapapun kita. Supaya Islam boleh tumpang. Seterusnya, bagi diri saya sendiri, dalam bidang apa pun yang saya ceburi kelak, saya harap dilakukan kerana Allah Ta’ala dan cuba sedaya upaya untuk praktikkan segala yang dipelajari untuk berkhidmat kepada masyarakat. Walau dalam bidang apapun yang diceburi, kita letakkan berkhidmat kepada Allah Ta’ala sebagai matlamat yang utama.

Pertama sekali, saya pilih bidang fizik ini kerana saya berminat dan telah ‘jatuh hati’ sejak mula mempelajarinya. Saya juga perhatikan bahawan bidang ini kurang dikuasai oleh orang Islam. Jadi, saya ingin mendalami bidang ini kerana pada pandangan saya, Fizik mampu memainkan peranan yang penting dalam banyak bidang terutamanya dalam bidang teknologi. Saya merasakan penguasaan teknologi perlu untuk umat Islam kembali menguasai dunia.

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan adik-adik generasi muda, termasuk diri saya sendiri, yang kita perlu sedar bahawa sudah tiba masanya untuk kita bangkit kembali dan sedar dari tidur yang lena. Maksud saya di sini ialah, kita perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan. Dengan cara itu kita akan mencapai kejayaan. Elakkan diri dari terlibat dengan gejala sosial kerana itu ialah jarum yang dicucuk pada umat Islam yang pada masa kini kita tewas. Jadi sudah tiba masanya untuk bangkit kembali. Sentiasa ingat bahawa kita hidup untuk Allah Ta’ala dan kita perlu berusaha denga cara yang terbaik bagi meletakkan Islam pada tempatnya.

Dipetik daripada :- http://wanitaisma.wordpress.com/2009/04/23/agama-dan-akademik-mesti-seiringan-nik-nur-madihah/

Senarai Pelajar Cemerlang Tahun 2003 – 2008:-

http://www.bmspm.net/pelajarcemerlang.htm


Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: