Amizax's Weblog – Menjana Pemikiran Ilmiah

January 9, 2010

Travelodge Haji

Filed under: Agama,Penulisan Kreatif — amizax @ 1:21 am
Tags: ,

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah S.W.T, kerana dengan berkat kurnia dan anugerahNya telah memakbulkan doa saya dan isteri untuk menunaikan fardhu haji pada musim ini. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang berlaku itu banyak hikmahnya dan tiada yang lebih berharga di dunia ini selain daripada peluang keemasan ini.

Maha suci Allah yang sememangnya mengundang kami untuk hadir ke Makkah Al-Mukkaramah, walaupun pada awalnya terdapat beberapa ujian yang perlu kami tempuhi sejak di Malaysia lagi. Masa yang diberikan hanyalah 7 dari untuk bertolak iaitu pada 12 November  2009, melalui pakej TM Tour & Travel  Sdn Bhd, dan penerbangan KT 68 / MH 150.

Ujian pertama yang kami hadapi, permohonan saya untuk mendapatkan pasport antarabangsa tertangguh kerana kehilangan pasport lama. Proses pembaharuan secara normal memakan masa selama sebulan. Ini bermakna saya tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini. Namun Allah itu maha besar, telah mengutuskan seorang insan bernama Mahadzir, yang tidak pernah saya temui, apatah lagi saya kenali. Insan “misteri” ini, yang enggan menceritakan siapakah dia yang sebenarnya, sekadar kenalan kepada kawan isteri saya. Dengan bantuan beliau dan pertolongan Allah, pasport saya dapat disiapkan dalam dua hari.

Ujian kedua pula, oleh kerana pasport tersebut tidak dapat dihantar ke LUTH pada tarikh yang ditetapkan, menyebabkan penerbangan kami ditunda pada 14 November 2009. Subhanallah, itulah tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Allhamdulillah, kami masih boleh berangkat ke tanah suci juga nanti.

Pertama kali menjejaki di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya untuk berangkat ke Jeddah. Titisan air mata tanda syukur bercampur baur dengan kesedihan meninggalkan anak-anak dan keluarga, saya menadahkan tangan dan bermunajat memohon perlindungan Allah, keberkatan perjalanan serta memohon kekuatan agar saya dapat membuang tabiat merokok selama 30 tahun yang lalu buat selama-lamanya. Bermula di tangga kapal terbang MAS yang kami naiki, saya menguatkan azam bahawa biar apapun yang akan terjadi, saya akan BERHENTI MEROKOK.

Lapan jam berlalu, akhirnya kami menjejaki kaki di Lapangan Terbang Jeddah jam 6.30 ptg waktu tempatan. Setelah melalui beberapa proses, kami bertolak ke Makkah menaiki bas. Sepanjang perjalanan saya rasa gementar dan berdebar-debar untuk menatap Baitullah yang dirindui selama ini. Jam 1.30 pg, kami sampai ke Hamzah Pallace, Makkah, iaitu hotel yang akan menjadi penginapan kami selama 32 hari nanti. Rombongan dibawah pimpinan ayahanda Haji Abd Rani seramai 68 orang menginap di hotel tersebut yang jarak dengan Masjidil Haram, lebih kurang 500 meter.

Keesokan paginya, saya dan isteri serta seorang lagi jamaah (Pn. Rogayah) dibawa oleh Hj Rani ke Masjidil Haram untuk Tawaf di Baitullah. Pertama kali saya menatap Baitullah secara dekat, air mata mula bercucuran, tanda teramat syukur kerana dapat menjejaki kaki di sini. Hati berdebar-debar dan rasa takut kepada Allah. Sepanjang masa tawaf, jiwa rasa amat tenteram. Walaupun dilimpahi berjuta manusia, kami dapat menyelesaikan tawaf dengan sempurna dan dapat bersembahyang sunat di belakang Makam Nabi Ibrahim dengan selelsa. Sepanjang sejarah hidup saya, tidak pernah saya rasa jiwa begitu tenteram seperti hari itu. Buat pertama kalinya saya berdoa di hadapan Baitullah:- “Ya, Allah ya tuhanku, aku bersyukur kepadaMu kerana aku dipilih menjadi tetamu mu. Ya, Allah ya tuhanku, kau ampunkanlah segala dosaku selama ini, dan kau terimalah segala amal ibadahku. Ya, Allah janganlah Kau jadikan kedatangan ku ini adalah untuk kali yang terakhir, berilah peluang dan ruang padaku untuk hadir hadir lagi menunaikan haji  dimasa hadapan. Ketika itu, ya Allah, aku memohon padamu, kau ambillah nyawaku di sini ataupun di Madinah. Ketika itu aku rela ya Allah untuk menemuimu.” Berderai air mata mengiringi doa yang tulus itu.

Benarlah kata orang, di Makkah, memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana di sini segalanya diuji oleh Allah dan segala doa akan dimakbulkan. Sepanjang tempoh berada di sini, saya diperlihatkan oleh Allah berbagai keadaan, suasana, pelbagai sifat manusia, serta peristiwa-peristiwa yang tidak terduga. Pertamanya, semasa kami saie, berlaku pergaduhan antara dua anak muda, seorang dari Indonesia dan seorang lagi dari Thailand. Puncanya, berlaku hanya lah akibat sedikit pertembungan semasa saie. Itulah akibatnya jika tidak sabar.

Makkah – Tanah suci, yang penuh keberkatan. Disini, segala doa umat akan dimakbulkan, samaada secara terang-terangan mahupun tidak. Benarlah kata mereka yang terdahulu, di Makkah, apajua pertuturan mahupun niat akan diperlihatkan oleh Allah jika itu kehendaknya. Disini, saya lihat bagaimana seorang jamaah wanita (juga bersama TM Travel) menangis mahu pulang ke Malaysia. Meskipun saya tidak tahu puncanya kenapa dia begitu bersungguh mahu pulang, walhal baru 3 hari kami di sini, namun saya membuat kesimpulan, apa jua yang berlaku adalah atas kehendak Allah dan Dialah yang maha mengetahuinya. Kita sebagai hambanya, perlu memikirkan dan mengambil iktibar dari kejadian ini.

Berbanding dengan tempat-tempat lain di muka bumi ini, di Makkah, umat yang datang dari segenap pelusuk dunia saling kasih mengasihi, saling menghormati, belas kasihan, tahap keihsanan yang tinggi, sedia membantu, dan bertoleransi. Dalam erti kata yang lain semuanya baik-baik belaka. Terfikir oleh saya, sekiranya di sini semua umat manusia boleh saling mengasihi antara satu sama lain, kenapa bila berada di luar Makkah, keadaanya jauh berbeza. Itulah kelebihan Tanah Haram Makkah yang berkat. Antara contoh keberkatan Tanah Haram yang lain, semasa kami tawaf di Baitullah diwaktu tengah hari (Jam 11.00 pagi; cuacanya bersamaan jam 12.30 tgh di Malaysia), tetapi tidak berasa bahang panasnya. Bersembahyang di luar kawasan Masjid  Haram sewaktu panas tengahari, tidak terasa bahangnya. Subhanallah, itulah antara nikmat yang dikurniakan Allah.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

The Rubric Theme. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: