Amizax's Weblog – Menjana Pemikiran Ilmiah

June 6, 2010

Apabila JUDI “Dihalalkan”

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berganjak daripada keputusannya melarang judi sukan di negeri itu walaupun terdapat rayuan daripada hartawan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberitahu satu sidang akhbar hari ini bahawa keputusan itu urusan kerajaan negeri.
Beliau menolak justifikasi Tan bahawa mengharamkan lesen tersebut akan meningkatkan lagi pertaruhan haram dan Lim menyifatkannya sebagai “pandangan peribadi (Tan). Itu haknya.”
“Pendirian kita adalah jelas. Ia (judi) adalah keterlaluan dan harus ada pengurangannya,” katanya selepas pelancaran Festival Georgetown di Hotel Berjaya hari ini.

Bagaimanapun, tambah Lim, beliau “terbuka” kepada rayuan. Semalam ( 5 Jun 2010), Tan yang memiliki syarikat Ascot Sport yang mendapat lesen tersebut, berjanji untuk menderma lebih setengah bilion ringgit untuk tujuan kebajikan.Tan juga menegaskan bahawa langkah menghalalkan judi pertaruhan sukan, akan membantu menangani kegiatan pertaruhan haram. Tan dilaporkan berkata, beliau akan “merayu dan terus merayu” kepada kerajaan negeri Pakatan berhubung larangan tersebut.

Sementara itu Lim pula berkata beliau belum sebarang rayuan, tetapi mengesahkan bahawa surat rasmi telah dikeluarkan untuk memaklumkan kepada Ascot mengenai larangan tersebut.Beliau yakin Ascot akan mematuhi keputusan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Menjawab soalan, Lim berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk memantau aktiviti taruhan haram judi sukan.
“Jika ada pertaruhan haram berlaku, ia menjadi tugas (agensi) penguatkuasaan dan polis,” tambahnya.Beliau menambah, pertaruhan melalui telefon dan internet adalah di bawah dalam bidang tugas Telekoms, dan bukan kerajaan negeri.

Anda harus bertanya kepada perdana menteri tentang hal ini, bukan saya,” katanya.

Sumber  : http://www.malaysiakini.com/news/133757

Persoalannya:-

1. Kerajaan Persekutuan yang memerintah sekarang tidak sensitif dengan bantahan yang telah disuarakan oleh rakyat agar tidak mengeluarkan lesen judi ini. Sehingga kini, terdapat tidak kurng 12 jenis judi yang “dihalalkan” oleh kerajaan. Sekiranya kita membuat tinjauan, dianggarkan tidak kurang 65% orang melayu terlibat dengan pertaruhan yang sedia ada. Data ini akan bertambah lagi dengan pemberian lesen ini.

2. Siapakah yang mengeluarkan lesen tersebut.  Cadangan ini datangnya dari Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein, (Berita Harian; Isnin, 10 mei 2010; 30), seorang pemimpin ( yang sering diuwar-uwarkan pemimpin kerajaan adalah “Ulil Amri”), orang Melayu yang beragama Islam. Patutkah dicadangkan sesuatu yang memang jelas diharamkan oleh Allah dalam Al-Quran. Juga barisan kabinet yang meluluskan, di mana semua pemimpin itu “terlantik” melalui undi rakyat yang memilih mereka. Sesiapa yang menghalalkan sesuatu yang haram, neraka tempatnya. Nauuzubillah.

3. Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng menerima hakikat bahawa perjudian itu membawa kesan negatif. Beliau menyatakan bahawa judi adalah keterlaluan dan harus ada pengurangannya. Itu pandangan dari individu yang bukan beragama Islam, patut dihormati dan diberi pujian. Tidak kira parti apa yang dipimpinnya, orang Islam yang menyokong pemberian lesen judi ini sepatutnya rasa malu kepada orang seperti Ketua Menteri Pulau Pinang ini.

4. Selama ini, kita rasa bangga dan megah, bahawa Malaysia yang kita cintai ini adalah sebuah NEGARA ISLAM. Apatah tidaknya, Malaysia adalah penyokong kuat OIC. Pelbagai konsep “Islamik” diketengahkan. Daripada eleman unsur-unsur Islam, Bersih Cekap dan Amanah, Islam Hadari hinggalah 1 Malaysia yang dikatakan mempunyai ciri-ciri Islam, tetapi dalam masa yang sama, kita mengiktiraf dan “menghalalkan” apa yang telah diharamkan oleh Allah. Lalu, SIAPAKAH KITA ?????

4 Comments »

  1. Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Kewangan berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. (ascort Sports) untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan. Beliau juga berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad dan masih mendapatkan maklum balas dan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan di Malaysia dengan hasrat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan PERJUDIAN TANPA LESEN di negara ini. (Utusan Malaysia, 8 Jun 2010, hal. 1).

    Dalam kenyataan yang lain, Kementerian Kewangan baru-baru ini mengumumkan pemberian lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula pada 11 Jun ini.(Utusan Malaysia, 8 Jun 2010, hal. 1).

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, langkah memberi lesen perjudian bola sepak itu dilaksanakan bagi MEMBENDUNG PERJUDIAN HARAM. Awal tahun ini, kerajaan mengeluarkan lesen kepada Ascort Sports Sdn. Bhd. UNTUK MENGENDALIKAN PERTARUHAN ORANG RAMAI ketika acara berlangsung. Beliau mempertikaikan keengganan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang tidak membenarkan syarikat itu beroperasi di negeri berkenaan. Beliau meminta cadangan dari kerajaan negeri berkenaan supaya kerajaan boleh membuat keputusan dalam membenteras EKONOMI HITAM.(Utusan Malaysia, 8 Jun 2010, hal. 9)

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai menyatakan lesen pertaruhan sukan BUKANLAH LESEN BARU yang dikeluarkan kerajaan tetapi ia DIBERI SEMULA kepada syarikat yang berkenaan yang MAHU MENDAPATKAN KEMBALI HAK PENGANJURAN PERTARUHAN SUKAN.(Utusan Malaysia, 8 Jun 2010, hal. 9)

    Empat kenyataan yang bercanggah, menunjukkan betapa kerajaan tidak begitu sensitif mengenai isu judi ini. Malah lebih menyedihkan, kenyataan-kenyataan di atas mengambarkan terdapat konsep Judi Halal dan Judi Haram, Judi sebagai sumber ekonomi (walaupun ia hitam), judi pertaruhan tersebut bukan sesuatu yang baru, malah telah ada sebelum ini dan seolah-olah mempertikaikan mereka yang tidak menyokong pemberian lesen ini. Lebih malang, yang tidak menyokong pemberian lesen judi itu datangnya dari mereka yang bukan beragama Islam.

    APA DAH JADI NI..!!!

    Comment by amizax — June 8, 2010 @ 11:26 am | Reply

  2. Judi: Siapa berbohong – Najib atau BERJAYA?

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.

    Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

    Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: ‘Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.’

    Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

    Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

    Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/133935

    Comment by amizax — June 8, 2010 @ 11:52 am | Reply

  3. Dr M setuju beri lesen pertaruhan sukan

    Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.

    “Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.

    “Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak,” katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.

    Beliau mempersoalkan kenapa PAS lantang menentang judi sukan di negara ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis judi lagi.

    “Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama.

    “Bagi PAS, agama adalah alat politik mereka,” katanya.

    Bercakap dalam sidang media selepas berucap dalam perhimpunan ‘Melayu Bangkit’ di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir juga berkata masyakarat hendaklah mengakui, sama ada suka atau tidak, aktiviti perjudian memang berlaku di negara ini.

    ‘Kalau Melayu berjudi, tangkaplah’

    “Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak, judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka berjudi.

    “Tetapi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa,” katanya menyokong cadangan kerajaan itu.

    Tambahnya, orang Cina yang ingin berjudi tidak boleh dihalang bagi melakukannya kerana ia “hanya haram bagi orang Islam”

    “Orang Islam jangan berjudilah. Kalau dia pergi berjudi, tangkaplah. Sama juga (bila) orang Islam tidak makan babi.

    “Kalau orang bukan Islam hendak makan juga, itu hak dialah,” katanya.

    Ditanya tentang khabar angin kerajaan mahu melindungi hartawan Vincent Tan yang didakwa membantu Umno dalam pilihan raya, sambil ketawa kecil, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

    “Tidak, Vincent Tan selama ini dia meniaga di luar negeri, di negeri Cina, di Vietnam, di Korea. Dia tak payah cari duit di sini,” katanya.

    NGO tak yakin pada Umno semata-mata

    Tambahnya, lagi pun, Vincent telah mendermakan wang sebanyak 500 juta hasil penjualan Ascort Sport Sdn Bhd kepada kumpulan BERJAYA.

    “Dan dana itu untuk semua orang, bukan untuk Umno…. Orang lain pun dapat. Saya fikir Vincent ini, bukan saja dia bagi duit pada Umno. Saya ingat dia bagi pada parti lawan pun sama.

    “Saya ingat, (itu) hendak tentukan dia tak ada masalah (dengan dua-dua pihak). Orang perniagaan macam itulah, hati-hati, sebelah itu dia sokong, belah ini pun dia sokong,” katanya.

    Sementara itu, mengulas tindakan 45 NGO Melayu mengadakan perhimpunan di negeri itu hari ini, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan mereka tidak lagi yakin kepada perjuangan Umno semata-mata.

    “Mereka perlu menjadi kumpulan pendesak. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak disenangi oleh orang Melayu,” katanya.

    “Saya khuatir. Orang Cina nampaknya tidak hendak sokong BN lagi. Dan jika tidak juga dapat sokongan daripada orang Melayu, kemungkinan BN akan kalah.”

    Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/134474

    Comment by amizax — June 14, 2010 @ 10:44 am | Reply

  4. aku sayang kamu banget si

    Comment by komeng — July 29, 2010 @ 9:12 pm | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: